Tentang KKM

My photo
Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
MISI: Menjana kecemerlangan mahasiswa dalam akademik, sahsiah dan kebudayaan kebangsaan. TEMA: Bersatu Membina Kecemerlangan. IMEJ: Kolej bertekad memartabatkan seni budaya nasional di kalangan mahasiswa.

Portal Rasmi Kolej Keris Mas

Saturday, August 22, 2009

Cadangan pembinaan Portal Rasmi Kolej Keris Mas ini, telah diilhamkan pada tahun 2009 sebagai satu wadah alternatif untuk menjana aspirasi pelajar-pelajar kolej kerismas pada khususnya, bagi memajukan lagi kecemerlangan mahasiswa dalam akademik, sahsiah dan kebudayaan bangsa.
Dalam perancangan jangka panjang, struktur website ini dibina berbentuk portal yang akan menyediakan maklumat tambahan seperti Alumni Profile Database, Portal Pendidikan, Blogger, E-Commerce, 2 versi bahasa dan sebagainya. Doakanlah untuk kami agar perancangan ini berjaya dilaksanakan satu hari nanti.

Malam Suai Kenal Kelab Tiong Hwa Kolej Keris Mas Sesi 2009/2010

Tuesday, August 18, 2009


 

Malam Suai Kenal Kelab Tiong Hwa Kolej Keris Mas telah berlangsung pada hari Sabtu, 08 Ogos 2009. Acara tersebut bermula pada pukul 7.30 p.m. Pelajar-pelajar Cina yang terlibat berkumpul di Dewan Besar Kolej Keris Mas dan dibahagikan kepada 6 kumpulan unutk sesi suai kenal.
Pengurus Asrama Kolej Keris Mas, Tn. Syed Kamarudin Bin Sadak, barisan JAKSA dan barisan FELO tiba pada sekitar pukul 8.45 p.m. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Varsiti Kita dan lagu Kelab Tiong Hwa. Selepas itu, ketua pengarah acara Malam Suai Kenal ini, Yang Pei Ping, pengerusi Kelab Tiong Hwa, Chai Siang Shiong dan Tn. Syed Kamarudin Bin Sadak telah memberikan ucapan. Seterusnya, Majlis Suai Kenal Kelab Tiong Hwa dibuka oleh Tn. Syed Kamarudin Bin Sadak, Chin Yoong Fei sebagai FELO Kelab Tiong Hwa, Chai Siang Shiong dan Yang Pei Ping dan diikuti oleh pemberian cenderamata oleh Yang Pei Ping kepada Tn. Syed Kamarudin Bin Sadak.
Majlis diteruskan dengan pertunjukan multimedia video, sesi lafaz ikrar oleh AJK Kelab Tiong Hwa diketuai oleh Chai Siang Shiong, persembahan keyboard solo, tarian hip-hop, tarian tradisional Melayu, tarian tradisional Cina, tarian tradisional India, tarian moden, persembahan isyarat tangan dan G-dance. Majlis tamat sekitar pukul 10.15 p.m. dan tetamu-tetamu khas meninggalkan Dewan Besar diiringi oleh Chai Siang Shiong dan Yang Pei Ping.Pelajar-pelajar yang terlibat terus tinggal di Dewan Besar untuk sesi perkongsian dan nasihat diikuti dengan sesi pengambaran. Majlis bersurai pada sekitar pukul 11.20 p.m.






Gotong-royong KKM

Tuesday, August 11, 2009







Satu aktiviti gotong-royong anjuran Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i ( JAKSA ) telahpun dijalankan dengan jayanya pada hari Ahad yang lalu iaitu pada 2hb Ogos 2009 bertempat di semua blok Kolej Keris Mas. Aktiviti yang bermula seawal jam 7:30 pagi dan berakhir pada pukul 12:00 tengahari itu telah disertai oleh kebanyakan para pelajar tahun 1, serta turut dibantu oleh segelintir pelajar dari tahun 2 dan tahun 3. 
Objektif aktiviti ini dijalankan adalah khusus untuk menceriakan pemandangan kolej, di samping membersihkan kawasan kolej sebagai suatu langkah berjaga-jaga dalam mengelak daripada ahli-ahli kolej kediaman Keris Mas dijangkiti penyakit serta wabak yang tidak diingini. Di samping itu, aktiviti gotong-royong ini juga turut dianjurkan dengan tujuan untuk membantu para pelajar tahun 1 mengumpul markah generik serta menambah kenalan baru dari blok masing-masing. Selain itu, mereka juga berpeluang menjalinkan hubungan mesra bersama pelajar senior dan mengeratkan lagi silaturrahim yang sudah sedia terjalin. Antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut adalah seperti aktiviti mengecat kawasan meletak kenderaan blok dan batu-batu pada sisi jalan, membersih dan menyapu longkang, serta melukis mural. 
Kesemua aktiviti ini dijalankan secara beramai-ramai dan telah pun dibahagikan secara sistematik mengikut kumpulan agar kerja yang dilakukan lebih cepat dan effisien. Terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan kita yang ringan tulang serta sudi membantu dan menghulurkan tangan dalam mengubah panorama KKM menjadi lebih indah dan sejuk mata memandang. Akhir kata daripada pihak buletin, kami mengharapkan agar keceriaan serta kebersihan kolej kita dapat terus dikekalkan malahan dimantapkan lagi.

Laporan Ceramah Pemantapan PNGK

Sunday, August 2, 2009


Pada khamis 16 Julai 2009, satu sesi ceramah pemantapan PNGK telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Siswali (JAKSA) di bawah kelolaan Pengerusi Biro Akademik JAKSA. Bertempat di Dewan Besar Kolej Keris Mas, majlis itu dihadiri oleh para pelajar prasiswazah Tahun 1 serta turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Keris Mas, Prof Madya Sallehuddin Haji Mohd Noor. Majlis ilmu itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Felo Akademik Kolej Keris Mas, Cik Syamsuliana Yusof dan barisan JAKSA itu sendiri. Antara pengisian dan kandungan ceramah yang telah disampaikan oleh motivator kita pada malam itu, iaitu Puan Rohana Tan adalah mengenai sistem pendaftaran kursus, system penilaian gred dan pengurniaan ijazah. Ceramah seumpama ini amatlah berguna kepada para pelajar Tahun 1 bagi mereka memahami sistem akademik dan peperiksaan di universiti ini. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada barisan JAKSA kerana sudi menganjurkan majlis ceramah yang sangat bermanfaat serta diharapkan dapat membantu adik-adik baru kita untuk berjaya.

Ceramah dimulakan dengan slot sistem pendaftaran kursus. Di sini, para pelajar didedahkan dengan pembahagian kursus yang terdapat di UKM, seperti Kursus Fakulti dan Kursus Universiti. Kursus-kursus ini pula mempunyai banyak taraf yang harus difahami oleh para pelajar agar tidak timbul isu silap memilih kursus kelak. Pendaftaran dan pemilihan kursus ini juga haruslah bertepatan dengan bidang yang diambil serta minat para pelajar bagi memastikan PNGS dan PNGK para prasiswazah terus meningkat dan cemerlang dari semester ke semester. Kursus-kursus ini boleh diakses oleh para pelajar melalui laman web SMP dengan hanya menekan bar ‘gugur/tambah kursus’ pada minggu pertama sehingga minggu kedua pada tiap-tiap semester. Sesi ceramah diteruskan lagi dengan slot penilaian gred dan pengurniaan ijazah. Semasa sesi ini dijalankan, para prasiswazah diterangkan dengan sistem gred, nilai gred dan pemarkahan untuk peperiksaan yang bakal mereka duduki pada tiap-tiap semester. Puan motivator kita juga turut menyelitkan tentang perihal anugerah dekan dalam slot system pengurniaan ijazah. Para pelajar seharusnya mendapatkan PNGS sekurang-kurangnya 3.60 dan ke atas untuk merangkul anugerah tersebut dengan minimum 10 unit kursus telah didaftarkan. Di samping itu, para pelajar juga dinasihatkan agar menanamkan semangat untuk cemerlang sejak dari awal lagi untuk berjaya.

Minggu Mesra Pelajar Baru Sesi Akademik 2009/2010

Minggu Mesra Pelajar Baru Sesi Akademik 2009-2010 telah berlangsung dari 28 Jun 2009 hingga 4 Julai 2009. Acara seminggu ini telah berlangsung dengan meriah. Aktiviti pada hari pertama ialah pendaftaran pelajar baru di kolej masing-masing dari pukul 8 pagi hingga 5 petang yang kemudiannya disambung dengan pemilihan peserta sukan, kebudayaan dan debat. Pada sebelah malam, Taklimat Kolej oleh Pengetua dan 
Taklimat Minggu Mesra Pelajar telah berlangsung di Dewan Besar. Para pelajar telah menghadiri taklimat dan orientasi fakulti pada pagi hari kedua yang diikuti dengan Majlis Ikrar Pelajar Baru dan Taklimat Pusat Pengajian Umum dan Pusat Perkembangan Pelajar. Hari kedua berakhir dengan Program Bersama Pemimpin. Keesokan harinya, para pelajar telah membuat pendaftaran kursus di fakulti masing-masing dan menghadiri Slot Kenegaraan pada sebelah malam. Pada hari keempat, iaitu hari Rabu, para pelajar telah menjalani aktiviti Senamrobik bersama TNC HEPA di Dataran Gemilang yang diikuti dengan pelbagai acara sukan seperti bola keranjang, bola sepak, cricket, golf dan lain-lain. Pada sebelah malam, Pertandingan Akhir Debat Piala Naib Canselor telah berlangsung di DECTAR.
2 Julai 2009 merupakan hari yang amat sibuk dengan pelbagai aktiviti sepanjang hari iaitu Taklimat Pusat Teknologi Maklumat dan Perpustakaan serta Slot Integriti pada sebelah pagi dan Alu-Aluan oleh TNC HEPA dan PMUKM pada sebelah petang di DECTAR.
Majlis Kesyukuran untuk pelajar Islam dan Ceramah Moral untuk pelajar bukan Islam telah berlangsung pada sebelah malam diikuti dengan program Bersama Angkasawan Negara, iaitu Datuk Sheikh Muszaphar Shukor. Keesokan harinya, Taklimat Bendahari, JPP, Kenderaan, Suksis, Palapes dan Keselamatan telah berlangsung pada sebelah pagi manakala Malam Tunas Seni telah berlangsung pada sebelah malam. Minggu
Mesra Pelajar Sesi 2009/2010 berakhir dengan Makan Malam Bersama Pengerusi Kolej, Professor Madya Sallehuddin Hj. Mohd. Noor lengkap dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menarik oleh pelajar-pelajar baru. Malam tersebut berakhir dengan sesi fotografi bersama PC kolej dan pelajar-pelajar baru sebagai kenangan bagi minggu yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh mereka yang terlibat.

Selamat Datang kepada Pelajar Baru !!

Kepada semua mahasiswa baru Sesi 2009/10, kami semua warga Kolej Keris Mas mengucapkan tahniah kerana menjadi warga kolej yang terpilih dan sangat bertuah. Semoga anda semua berjaya dalam semua perkkara yang anda lakukan.Akhir kata untuk para pelajar baru, selamat menempuh alam universiti yang penuh cabaran dan rintangan. Oleh itu, berusahalah sehingga berjaya memenuhi matlamat anda.

Twitter Updates

    ikuti kami di Twitter
    There was an error in this gadget